Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Thursday, June 20, 2013

Fakta Tentang Rokok

Tahukah anda, merokok penyebab utama penyakit dan boleh membawa kepada kematian. Merokok menjadi punca kepada pelbagai jenis penyakit antaranya barah paru-paru dan beberapa barah lain, penyakit pernafasan, penyakit jantung, komplikasi semasa mengandung dan penyakit pernafasan dalam kalangan kanak-kanak.

Sesiapa yang merokok lebih 20 batang rokok sehari mempunyai 10 hingga 15 kali ganda lebih mudah mendapat serangan jantung kerana tabiat itu merendahkan tahap lipoprotein berkepadatan tinggi (lemak yang baik) dalam darah.



Jenis Perokok

1 . Perokok Aktif - Individu yang menyedut asap rokok aliran utama melalui mulut.
2. Perokok Pasif - Individu yang menghirup asap aliran sisi dan asap aliran utama yang dihembus keluar oleh perokok atau terdedah kepada asap rokok persekitaran.

Kenapa anda perlu menghindari tabiat merokok?

1. Memanjangkan usia : Rokok membunuh kira-kira 5000 orang rakyat Malaysia setiap tahun. Satu daripada dua orang perokok mati awal disebabkan penyakit yang berhubung-kait dengan rokok.

2. Pencegahan penyakit - Terdapat 40 penyakit disebabkan oleh merokok. Antara penyakit itu ialah kanser paru-paru, sakit jantung, kronik bronkitis, emfisema, strok dan ulser perut.

3. Hidup sihat dan berkualiti - Perokok mudah dijangkiti virus flu, batuk dan jangkitan paru-paru dibandingkan dengan bukan perokok.

4. Mengelakkan gigi menjadi kuning - Merokok menyebabkan gigi menjadi kusan dan kuning.

5. Mengelakkan nafas berbau - Rokok boleh menyebabkan nafas anda yang kurang enak.

6. Kulit cantik - Orang yang merokok akan beruban cepat, kulit mudah berkedut dan kusam terutama di bahagian mata dan mulut.

7. Melindungi keluarga dan rakan-rakan - Apabila anda merokok berhampiran dengan bukan perokok, anda menjadi mereka ini penghisap asap rokok. Mereka dipanggil perokok pasif.

8. Tidak mudah letih dan lebih cerdas - Merokok boleh mempengaruhi tahap kecerdasan anda. Anda mudah letih dan tidak berstamina apabila melakukan aktiviti seperti berlari, berjalan atau lain-lain.

9. Mengurangkan pencemaran udara

10 . Kesuburan (fertiliti) - Merokok boleh menyebabkan kualiti sperma anda merosot seperti isi padu sperma, mobiliti dan struktur morfologi sperma.

11. Disfungsi ereksi - Mati pucuk atau disfungsi ereksi berkait rapat dengan tabiat merokok.

Antara Kandungan Bahan Kimia Berbahaya Dalam Rokok



1. Kadmium (bateri alkali)
2. Butana (cecair pemetik api)
3. Ammonia (pencuci tandas)
4. Naftalena (ubat gegat)
5. Raksa (logam dalam jangka suhu)
6. Karbon Monoksida (asap kereta)

Sumber Teks : Berita Harian 18 Jun 2013
Sumber Gambar : http://www.opzzpinky.my/

Wednesday, June 19, 2013

Pegaga Untuk Awet Muda

Berita gembira bagi mereka yang lemah tenaga batin, hanya dengan mengamalkan pegaga air atau nama saintifiknya Hydrocotyle Asiatica setiap hati, seseorang itu dapat menguatkan kembali tenaga batinnya.

Menurut kajian yang dibuat oleh Natural Product Discovery (NDP), usaha sama antara Malaysia dan Massachusette Institute of Technology (MIT USA) telah menjumpai bahawa kandungan yang terdapat dalam pegaga juga boleh bertindak sebagai agen anti kanser.

Kini pegaga menduduki satu daripada tangga 10 teratas dalam senarai jenis herba yang terlaris di Amerika Syarikat dan Eropah. Pegaga merupakan salah satu herba yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai salah satu daripada spesies tumbuhan yang paling penting perlu dipelihara dan dibiakkan.



Menurut kajian itu juga pegaga dapat memberi kesan positif terhadap penyakit-penyakit seperti insomnia, darah tinggi, lelah dan tiada nafsu makan.

Di samping mengembalikan kecergasan badan, pegaga juga dikatakan dapat mengubati beberapa penyakit lain seperti rheumatism, sakit tekak, tonsilitis, hepatitis dan juga digelar sebagai 'arthritis herbs', iaitu herba yang mujarab untuk mengubati penyakit arthritis.

Mengikut ceritanya masyarakat India purba makan dua helai daun pegaga sehari untuk awet muda dan kulit yang sihat. Ketika itu juga mereka menggunakan pegaga untuk merawat penyakit kusta, ulser, luka-luka dan batuk kering.

Sumber teks : Mastika Keluaran Jun 2013